Bagi orang Islam, berpuasa bukanlah satu amalan atau adat. Berpuasa bukan kerana rutin bulanan atau tahunan. Berpuasa adalah satu ketentuan ibadah oleh Allah. Kita berpuasa untuk Allah dan hanyalah kerana Allah, sebagaimana niat kita pada malam hari, "Sahaja aku puasa esok hari fardhu Ramadhan kerana Allah Taala". Jika begitu niat kita, maka wajiblah kita berpuasa seperti yang digariskan oleh Allah.
Berpuasa bukanlah hanya menahan diri daripada makan dan minum, lapar dan dahaga atau menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa tetapi berpuasa hendaklah seperti yang dikehendaki Allah. Rasulullah s.a.w telah memberi ingatan kepada kita seperti yang diriwayatkan oleh an-Nasa'i & Ibnu Majah:
"Berapa orang yang berpuasa tetapi tiada apa yang diperolehi daripada puasanya itu kecuali hanya mendapat lapar dan dahaga."
Maksudnya orang yang berpuasa itu tidak memperolehi sebarang ganjaran pahala daripada Allah kerana amalan yang dilakukan tidak seperti yang dikehendaki Allah. Bagaiman jika seorang pkerja yang mengambil upah daripada seorang majikan, tetapi tidak melakukan kerja itu seperti yang ditetapkan? Apakah pekerja itu akan dibayar upahnya? Tentulah pekerja itu tidak akan diberikan apa-apa upah. Demikianlah juga orang yang berpuasa tetapi bukan seperti yang dikehendaki oleh Allah. Justeru, bagi membolehkan kita mendapat ganjaran pahala puasa sebenar hendaklah kita turuti kriteria-kriteria berikut ketika berpuasa:
1. Menahan diri daripada nafsu perut dan nafsu jantina.
2. Menahan pancaindera seperti pendengaran, penglihatan dan anggota tubuh seperti kaki tangan daripada melakukan perkara yang haram.
3. Menjaga lidah daripada berkata-kata yang sia-sia, berakap kotor, mencela, mencaci dan mengumpat.
4. Memperbanyakkan ibadah khusus sama ada wajib ataupun yang sunat.
5. Memperbanyakkan berbuat kebajikan (ibadah umum) seperti menolong orang dan bersedekah.
Insya-Allah, jika kita berpuasa seperti yang dikehendaki Allah, kita bukan hanya akan mendapat ganjaran pahala bahkan akan mendapat dua kebahagiaan iaitu kebahagiaan etika berbuka puasa dan kebahagiaan ketika bertemu dengan Allah nanti. Mudah-mudahan Allah menerima ibadah puasa kita walaupun banyak compang-campingnya. Amin....No Compromise With Islam!!!
0 comments:
Post a Comment