Kemaafan Dipinta

Assalamualaikum wahai hamba Allah sekalian.... Alhamdulillah segala puji ku tujukan pada-Mu Tuhan Sekalian Alam..Blog yang baru disiapkan...
Semoga Allah Memberi Taufik dan Hidayah Kepada Anda:-
1. http://mujahid-frontline.blogspot.com

Semoga kita berada di bawah naungan-Nya....


Sambutlah Aidil Fitri Sebagai Hari Ibadah

      Hari raya adalah hari yang sentiasa dinanti-nantikan oleh semua orang sama ada kanak-kanak mahupun orang dewasa, lelaki mahupun perempuan, kaya ataupun miskin, di desa atau di kota. Semua orang pasti bergembira kerana meraikan kejayaan menunaikan kewajipan berpuasa.

     Hari raya dalam Islam sebenarnya bukanlah hanya semata-mata hari untuk bersuka ria bahkan hari raya merupakan hari ibadah yang diberi pahala jika disambut mengikut adab-adabnya.

     Adab-adab berhari raya dalam Islam telahpun diajarkan oleh Rasulullah s.a.w melalui sunnah baginda. Sambutan dimulakan oleh Rasulullah s.a.w sebaik sahaja terbenam matahari pada akhir Ramadhan. Ketika itu disunatkan bertakbir dan bertahmid, disunatkan juga kita banyak beribadah seperti menunaikan solat-solat sunat, bersedekah, bermaaf-maafan sesama kaum, keluarga, jiran tertangga dan sahabat handai.

     Pada pagi hari raya disunatkan mandi sunat hari raya. Kemudian berpakaian dengan pakaian yang terbaik yang kita miliki tetapi tidak semestinya baru. Makanlah terlebih dahulu sebelum ke masjid untuk Solat Sunat Hari Raya. Jangan lepaskan peluang untuk Solat Sunat Hari Raya kerana ia adalah salah satu solat sunat yang digalakkan berjemaah. Bahkan bagi perempuan yang uzur, digalakkan untuk bersama kaum muslimin yang lain ke perkarangan masjid bagi mendengar khutbah dan meraikan hari yang mulia ini.

     Ketika balik daripada Solat Sunat Hari Raya, disunatkan kita melalui jalan lain daripada jalan yang kita pergi. Ini bertujuan supaya kita dapat bertemu dengan rakan taulan dan bermaaf-maafan serta meghubungkan silaturrahim. Namun begitu, jangan pula bersalam-salaman dengan orang bukan mahram ketika bermaaf-maafan kerana perbuatan itu diharamkan oleh Islam. Peliharalah aurat dan pergaulan, sambutlah hari raya dengan berhemah, jangan membazir makanan dan jangan pula dilalaikan dengan hiburan yang melampau.

     Jika pergi berziarah atau bertamu di hari raya, pilihlah waktu-waktu yang sesuai atau sebagaimana yang diundang. Elakkan bertandang di rumah orang lama-lama dibimbangi ia akan mengganggu tuan rumah. Makanlah apa yang dihidangkan, janganlah membazir.

     Bagi pihak tuan rumah pula, hendaklah memuliakan tetamu yang datang, hormati tetamu dan pamerkan rasa gembira dengan kedatangan tetamu itu. Segerakan menghidangkan makanan kepada tetamu.

     Sewaktu hendak pulang, tetamu hendaklah meminta izin atau memberitahu tuan rumah, menunjukkan muka ceria sebagai tanda gembira dengan layanan tuan rumah. Sebaiknya tuan rumah hendaklah keluar mengiringi tetamu sampai ke pintu rumah dengan wajah gembira.

     Demikianlah antara adab-adab yang sepatutnya diamalkan sempena sambutan hari raya. Mudah-mudahan ianya akan menjadi amalan kita bersama. Sambutlah hari raya yang bakal menjelang tiba.


Ya Allah Bantulah Kami Beribadah Kepada-Mu


            Ramadhan adalah bulan yang penuh dengan janji-janji Allah, bulan rahmat, bulan keampunan, bulan digandakan amal ibadat hingga 1,000 kali ganda dan bulan yang penuh berkat. Namun begitu, tidak semua orang yang berjaya memimpin dirinya untuk menyahut seruan beribadah kepada Allah.
           
            Ingatlah, bahawa manusia adalah milik Allah. Beriman adalah hidayah daripada Allah. Dapat melakukan amal ibadah adalah inayah (pertolongan) daripada Allah. Jika Allah bukakan pintu hati seseorang, akan mudahlah baginya melakukan kebaikan. Oleh itu, berdoalah kepada Allah agar dipermudahkan kita untuk beribadah kepada-Nya.

            Nabi Muhammad s.a.w mengajar seorang sahabatnya supaya berdoa kepada Allah memohon kekuatan untuk beribadah. Inilah doa yang diajarkan oleh baginda yang bermaksud “Ya Allah, bantulah aku mengingati-Mu, bersyukur kepada-Mu dan memperelok amal ibadah kepada-Mu.

            Ingatlah, bahawa Allah memberikan keinginan kepada kita untuk melakukan sesuatu kebaikan. Orang yang diberikan taufik dan hidayah akan mudah untuk melakukan amal ibadah, lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadhan Al-Karim dengan tawaran yang hebat. Amalan sunat diberikan pahala seperti amalan fardhu. Betapa Allah Maha Pemurahnya Allah yang telah menjanjikan pahala yang cukup banyak, berlipat ganda untuk diraih oleh hamba-hamba-Nya.

            Tanpa bantuan dan hidayah daripada Allah, manusia tidak akan dapat tunduk kepada Allah walaupun hanya untuk sekali sujud. Oleh itu, seorang yang gagah perkasa, mampu berlari berpuluh-puluh kilometer tanpa henti, mampu bekerja siang dan malam belum tentu mampu untuk bangun di tengah malam bertahajjud mengabdikan diri kepada Allah. Semua kebaikan yang dilakukan oleh seorang hamba adalah inayah Allah.

            Orang yang tidak mahu beramal ibadah pada bulan Ramadhan akan menyesal di hari akhirat nanti. Mereka akan disibukkan oleh urusan duniawi sehingga meninggalkan peluang dan kesempatan beribadah walaupun di bulan Ramadhan yang mulia ini. Kata Ibnu Muqaffa, “Orang yang akan menyesal adalah orang yang kehilangan kesempatan untuk beribadah.”  Mati sebelum sempat beramal.

            Keinginan untuk beribadah adalah anugerah daripada Allah kepada hamba-hamba-Nya yang terpilih. Berdoalah agar kita termasuk dalam golongan orang yang dipilih sebagai ahli ibadah yang gigih serta dikurniakan halawatul ibadah seperti yang telah  diberikan kepada ahli ibadah terdahulu. Mereka menunggu-menunggu kehadiran Ramadhan untuk melipatgandakan ibadah. Apabila munculnya Ramadhan, mereka menunggu pula malam untuk bertahajjud dan bermunajat kepada Rabbul Jalil. Apabila muncul malam, mereka mencari-cari malam Laitul Qadar.

            Adakah anda bersama saya dalam usaha untuk melipatgandakan ibadah? Ayuh berubahlah demi Islam yang tercinta. 



Berpuasalah Seperti Yang Dikehendaki Allah

     Berpuasa bukanlah satu perkara yang asing bagi manusia. Sesetengah agama mengamalkan puasa yang amat berat sehingga berhari-hari lamanya. Sementara bagi agama lain pula, puasanya amat ringan. Ada yang hanya minum air, ada puasa daripada makan daging. Ringkasnya, masing-masing agama ada cara tersendiri ketika berpuasa.
     Bagi orang Islam, berpuasa bukanlah satu amalan atau adat. Berpuasa bukan kerana rutin bulanan atau tahunan. Berpuasa adalah satu ketentuan ibadah oleh Allah. Kita berpuasa untuk Allah dan hanyalah kerana Allah, sebagaimana niat kita pada malam hari, "Sahaja aku puasa esok hari fardhu Ramadhan kerana Allah Taala". Jika begitu niat kita, maka wajiblah kita berpuasa seperti yang digariskan oleh Allah.
     Berpuasa bukanlah hanya menahan diri daripada makan dan minum, lapar dan dahaga atau menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa tetapi berpuasa hendaklah seperti yang dikehendaki Allah. Rasulullah s.a.w telah memberi ingatan kepada kita seperti yang diriwayatkan oleh an-Nasa'i & Ibnu Majah:
        
         "Berapa orang yang berpuasa tetapi tiada apa yang diperolehi daripada puasanya itu kecuali hanya mendapat lapar dan dahaga."

     Maksudnya orang yang berpuasa itu tidak memperolehi sebarang ganjaran pahala daripada Allah kerana amalan yang dilakukan tidak seperti yang dikehendaki Allah. Bagaiman jika seorang pkerja yang mengambil upah daripada seorang majikan, tetapi tidak melakukan kerja itu seperti yang ditetapkan? Apakah pekerja itu akan dibayar upahnya? Tentulah pekerja itu tidak akan diberikan apa-apa upah. Demikianlah juga orang yang berpuasa tetapi bukan seperti yang dikehendaki oleh Allah. Justeru, bagi membolehkan kita mendapat ganjaran pahala puasa sebenar hendaklah kita turuti kriteria-kriteria berikut ketika berpuasa:
          1. Menahan diri daripada nafsu perut dan nafsu jantina.
          2. Menahan pancaindera seperti pendengaran, penglihatan dan anggota tubuh seperti kaki tangan daripada melakukan perkara yang haram.
          3. Menjaga lidah daripada berkata-kata yang sia-sia, berakap kotor, mencela, mencaci dan mengumpat.
          4. Memperbanyakkan ibadah khusus sama ada wajib ataupun yang sunat.
          5. Memperbanyakkan berbuat kebajikan (ibadah umum) seperti menolong orang dan bersedekah.
     Insya-Allah, jika kita berpuasa seperti yang dikehendaki Allah, kita bukan hanya akan mendapat ganjaran pahala bahkan akan mendapat dua kebahagiaan  iaitu kebahagiaan etika berbuka puasa dan kebahagiaan ketika bertemu dengan Allah nanti. Mudah-mudahan Allah menerima ibadah puasa kita walaupun banyak compang-campingnya. Amin....

No Compromise With Islam!!!
 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 Unity of Muslim |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net | This template is brought to you by : allblogtools.com | Blogger Templates

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.